Setiap masalah ada jalan penyelesaian tersendiri.
Kita masing-masing ada masalah yang tersendiri. Kesunyian, pengkhianatan, salah laku jenayah, putus cinta dan kekecewaan. Pernah suatu hari aku berfikir kenapa hidup ini perlu ada masalah. Pernah juga aku berfikir kenapa tidak hidup ini hanya dilimpahi dengan kebahagiaan.
Jawapannya mudah. Kehidupan. Inilah kehidupan yang sebenarnya. Kerana itulah kita sebagai manusia dikurniai akal untuk berfikir. Akal kita akan gagal jika tidak digunakan untuk berfikir untuk menangani sebarang masalah yang melanda.
Dalam penyelesaian masalah tidak akan ada sesiapa pun yang 100% sempurna. Ini kerana kita masing-masing mempunyai nilai IQ yang berbeza. Apa yang penting ialah meletakkan akal sebagai asas untuk mencari penyelesaian bukannya perasaan. Kita harus belajar mengawal emosi supaya sebarang keputusan yang ingin kita capai tidak dipengaruhi oleh sifat marah, sedih dan kecewa.
Apa yang terjadi telah pun terjadi dan tiada apa lagi dapat kita lakukan untuk memperbaiki keadaan. Bukit yang telah dicantas tidak mungkin dapat dibentuk kembali. Kita harus mengubah keadaan masalah itu menjadi satu kejayaan untuk masa depan. Kejayaan mengawal diri dari terlalu ikutkan perasaan dan nafsu. Setiap perkara yang berlaku haruslah hadapi dengan tenang. Hanya dengan ketenangan sahaja dapat kita berfikir dengan waras.
Pejam mata, fikirkan perkara yang indah dalam hidup. Fikirkan kebahagiaan yang kita inginkan. Fikirkan senyuman yang kita ukirkan. Fikirkan orang-orang yang paling kita sayangi. Fikirkan diri kita disanjung masyarakat. Tanamkan dalam hati bahawa kita adalah SESEORANG. Jika kita dapat mengawal fikiran kita maka kita juga akan dapat mengawal segalanya. Kita dapat mengawal dunia kita sendiri. Bahkan mungkin juga dapat mengawal dunia orang lain.
Realitinya setiap perkara yang kita lalui merupakan sebahagian dari takdir kehidupan yang memang telah tertulis sejak azali. Sebab itulah kita dilarang merungut dan mengeluh akan nasib yang menimpa. Setiap dari kita harus ada matlamat. Dengan adanya matlamat maka kita tahu hala tuju kehidupan kita. Destinasi terahir adalah puncak kepada perjalanan hidup kita. Kita yang tentukan sama ada untuk memilih yang di atas atau di bawah.
Dalam perjalanan menuju destinasi sudah tentu akan ada halangan dan rintangan. Hadapilah ia dengan hati yang terbuka. Insyaallah dengan usaha, doa dan tawakal kita semua pasti akan dapat melepasi sebarang dugaan. Percayalah.



Post a Comment