Good thing always happen – Believe it.
Hari ini aku bangun dari tidur agak lewat kerana keluar lewat malam pada hari sebelumnya. Dalam beberapa hari ni jiwa aku agak tenang dan gembira. Kerana apa aku sendiri pun kurang pasti sebab setahu aku masih banyak lagi permasalahan yang belum diselesaikan. Mungkin aku optimis bahawa setiap masalah itu akan selesai sedikit demi sedikit dalam beberapa bulan lagi. Barang-barang milik Ana pun sudah diambilnya. Selesai 1 dari segala masalah. Motor pun aku sudah repair di bengkel bawah. Selesai 1 lagi masalah. Masalah yang tidak pernah selesai adalah pengurusan kewangan aku. Sudah beberapa kali aku berfikir untuk merujuk permasalahn aku ni kepada AKPK tapi aku belum mencapai kata putus. Mungkin kerana aku merasakan ia belum mencapai tahap kritikal. Sebahagian dari diri aku pula berkata takkan nak tunggu sampai kritikal? Entahlah. Mungkin ada baiknya juga aku rujuk kepada AKPK sebelum melarat. Adakalanya kesibukan kerja menyebabkan aku lupa akan beberapa perkara penting yang harus aku lakukan dalam hidup aku. Dan perkara yang paling utama ialah menguruskan hidup aku sebaiknya. Sudah sebulan lamanya aku mencari inspirasi dan idea dan hari ini aku pasti apa yang harus aku lakukan. Perkara pertama yang harus aku lakukan ialah melupakan seketika kehadiran insan istimewa dalam hidup aku. Itu bermakna aku akan hidup sendiri bagi 1 tempoh yang agak panjang. Tapi aku tidak kisah kerana aku masih boleh berkawan dan tidak salah rasanya kalau aku mempunyai kawan wanita yang lebih ramai dari kawan lelaki. Sebab itulah aku sengaja melukakan hati beberapa orang yang pernah aku sayang hanya kerana untuk memperbetulkan kembali matlamat hidup aku. Mungkin itu 1 pengorbanan yang terpaksa aku lakukan agar aku tidak lagi menyusahkan orang-orang disekeliling aku. Cukuplah segala konflik yang telah aku bangkitkan selama ini. Aku pasti aku akan berjaya 1 hari nanti jika aku terus cuba menggunakan kuasa minda. Buat masa ini biarlah bersusah-susah dulu kerana kesusahan itu mengajar aku erti sebenar kehidupan. Apalah ertinya kejayaan tanpa kesusahan.
Aku menelefon mak pada jam hampir pukul 11 malam. Bertanya khabar dan untuk memastikan kestabilan emosinya. Alhamdulillah mak sihat dan jiwanya juga tenteram walaupun dilanda masalah. Sebagai anak aku tidaklah berhak untuk masuk campur tapi sebagai anak juga sudah menjadi tanggungjawab aku untuk mengambil berat tentang dirinya. Walaupun aku hidup jauh di Kuala Lumpur tapi jarak tidak mampu menjadi penghalang hubungan anak dan mak. Banyak juga perkara yang kami bualkan. Bergayut di talian hampir 2 jam. Antara perkara menarik yang kami bualkan ialah banjir di Bandar Johor Bahru. Sepanjang aku hidup di Johor dulu pun belum pernah aku lihat Bandar itu dilanda banjir setinggi paras pinggang orang dewasa. Kalau di Kuala Lumpur ni sudah biasa sangat. Suara mak yang ceria telah membuatkan aku berasa amat gembira. Anak mana yang tidak ingin menggembirakan hati maknya betul tak. Aku suka berbual dengan mak kerana mak sering memberikan nasihat dan pandangan yang bernas kepada aku. Aku tidak dapat membayangkan pengorbanan yang telah mak lakukan untuk membesarkan kami semua. Hanya hati seorang ibu sahaja dapat memahami pengorbanan itu. Disamping itu mak juga ada memberikan pandangannya terhadap surat tuntutan gantirugi yang aku cadang hendak disampaikan kepada Saiful dan Reza. Mak nasihatkan aku supaya menghalalkan aje apa yang telah berlaku kerana rezeki itu datangnya dari Allah. Sememangnya aku juga ada terfikir begitu tapi bila aku kenangkan keegoan dan kekerasan hati Saiful aku jadi marah dan kecewa. Rasa marah dan kecewa itulah yang mendorong aku untuk meneruskan niat menyampaikan surat tuntutan. Namun kata-kata mak mengubah kembali pendirian aku. Mereka seharusnya berterima kasih kepada mak aku kerana terselamat dari tuntutan di mahkamah yang sedang aku siapkan kertas kerjanya. Aku yakin ada berkat dan hikmahnya jika aku dengar apa yang mak nasihatkan. Aku lakukan ini kerana aku sayangkan mak dan aku tak mahu lihat dia berduka dengan tindakan terburu-buru aku.
Mereka selamat buat masa ini. Tidak mustahil untuk aku mengubah lagi pendirian jika selepas ini mereka masih menyusahkan aku. Ingat, jika aku tidak menghalalkannya maka Hajimu juga tidak halal dan matimu tidak tenteram. Ini amaran aku untuk mereka. Maafkan aku Reza kerana berkeras tapi inilah yang seharusnya aku lakukan. Kau mungkin tidak perasan aku telah banyak berubah. Aku tidak lagi seperti dulu. Apa yang telah aku lalui memberi banyak pengertian tentang perhubungan sesama manusia. Dan pada masa ini perhubungan yang harus aku perbaiki ialah antara aku dengan Tuhanku. Kenal Tuhan maka kita akan kenal diri sendiri. Aku akui. Itulah matlamat utama aku kini. Meneruskan pencarian akan identity diri aku yang sebenarnya. Identity yang telah hilang bertahun lamanya. Identity yang tidak pernah dikenali sesiapa pun. Tidak akan ada lagi Brand New Old Me tapi hanya New Me. Mak adalah orang yang paling banyak membantu aku. Aku sayangkan mak aku kerana mak juga sayangkan aku.
“Setinggi terbang bangau akhirnya pulang juga”. Peribahasa itu memberi makna yang besar dalam hidup aku. Seringkali kita melupakan akan insan-insan yang telah banyak membantu kita apabila sudah mula merasakan kesenangan hidup. Tapi apabila kita dalam kesusahan kepada mereka jugalah kita mengharapkan bantuan dan pertolongan. Dalam hidup ini ada 3 perkara yang paling harus kita jaga. Tuhanku, ibuku dan ayahku. Secara jujurnya aku juga tersentak apabila menyebut 3 perkara itu kerana selama ini aku telah mengenepikan 3 perkara itu. Jika 3 perkara ini dijaga dengan baik InsyaAllah hidup kita akan diberkati dan dilimpahi rezeki yang berkekalan. Ingatan ini juga adalah untuk diri aku sendiri yang selama ini tidak menjadi hamba dan anak yang taat. Aku ingin menjadi teladan yang baik kepada adik-adik aku dan kepada kawan-kawan aku. Aku bermohon kepada Tuhanku Maha Suci Allah semoga segala dosa-dosa diriku, mak dan ayahku,adik-adikku dan suami/ isteri mereka, kawan-kawanku, jiran-jiranku, guru-guruku, insan-insan yang pernah mengenaliku dan semua umat Islam diseluruh dunia diampunkan dan diberi petunjuk dan hidayat hidup dunia dan akhirat. –end-2.10am-1 Jun 2008.



Post a Comment