Hari Bapa.
Ada yang panggil Bapa mereka dengan panggilan pak, bapak, daddy, abah dan sebagainya tapi aku dan adik-adik memanggil ayah. Sejak kecil lagi aku amat kagum dengan ayah. Pada aku ayah merupakan seorang tokoh yang amat berjasa. Sepertimana mak, ayah juga telah banyak berkorban untuk kami sekeluarga. Ayah sanggup berhutang demi untuk menghantar kami melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Seingat aku, memang susah sekali nak melihat ayah menolak setiap permintaan kami. Segala apa yang kami inginkan sedayanya ayah cuba tunaikan walaupun pada ketika itu ayah sendiri sedang runsing.
Ayah seorang yang tegas dan lemah lembut bila memberi nasihat. Tapi itu bukanlah bermakna ayah tidak pernah memarahi kami. Pernah aku dibelasahnya sampai demam kerana ponteng sekolah. Itu kali pertama dan terakhir ayah menampar aku kerana amat marah. Dirotan dan dipukul dengan tali pinggang aku sudah biasa. Sepengetahuan aku, hanya aku seorang saje yang sering dipukul kerana kenakalan aku jika hendak dibandingkan dengan adik-adikku yang lain. Aku paham kenapa adik-adik aku Cuma akan dimarahi berbanding dengan aku yang dipukul ini. Setiap kali ayah merotan aku setiap kali itu jugalah ayah kesal dan sedih atas tindakannya. Mungkin semasa kecil dulu aku tidak mengerti tapi setelah meningkat dewasa aku mampu memahami hati dan perasaan seorang ayah.
Setiap kata-kata ayah adalah inspirasi bagi aku. Kalaulah dulu aku dengar segala nasihat ayah dan mak tentu hidup aku senang kini. Aku bersyukur kerana masih mempunyai ayah yang sehingga kini masih sudi memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada aku walaupun aku sudah berumur 26 tahun. Pernah sekali aku melihat ayah menangis tapi bukanlah disebabkan bebanan masalah atau sebab kederhakaan kami adik-beradik. Masa itu merupakan hati yang amat sedih buat kami semua. Hari sewaktu Allahyarham Jazlan meninggalkan kami semua. Hanya selepas beberapa hari kami semua berkumpul di kampung dia pergi meninggalkan kami semua. Paling sedih tentulah Maklong dan Paklong. Ayah menitiskan air matanya di saat kaum keluarga dibenarkan untuk menatap jenazah buat kali terakhir. Pada ketika itu aku sedar bahawa ayah juga mempunyai hati yang lembut disebalik ketegasannya.
Aku sayangkan ayahku. Aku sayangkan ibuku. Aku sayangkan adik-adikku. Aku sayangkan keluargaku. Bersempena Hari Bapa ini aku ingin sekali memeluk ayahku seeratnya dan mengatakan bahawa aku amat sayangkannya. Aku tidak mampu untuk menghadiahkannya dengan barangan fizikal kerana material semahal mana pun tidak akan mampu menandingi kasih sayang seorang ayah terhadap anaknya. Aku bermohon kepada Allah s.w.t supaya mengampunkan segala dosa ayah, memurahkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya agar kami semua dapat meluangkan lebih banyak masa bersama ayah.Amin. –end-



Post a Comment