feedburner
Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

feedburner count

Hari Bapa.

Aku baru je habis membaca majalah Mastika keluaran Jun. Semua topiknya menarik. Antara topic utama keluaran bulan ini ialah tentang Hari Bapa. 15 Jun merupakan Hari Bapa yang seharusnya disambut oleh setiap manusia didunia ini kerana tanpa Bapa tidak mungkin Ibu kita akan dapat melahirkan kita. Jadi coretan kali ini khas untuk kaum Bapa dan khas untuk anak-anak yang masih mempunyai Bapa.

Ada yang panggil Bapa mereka dengan panggilan pak, bapak, daddy, abah dan sebagainya tapi aku dan adik-adik memanggil ayah. Sejak kecil lagi aku amat kagum dengan ayah. Pada aku ayah merupakan seorang tokoh yang amat berjasa. Sepertimana mak, ayah juga telah banyak berkorban untuk kami sekeluarga. Ayah sanggup berhutang demi untuk menghantar kami melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Seingat aku, memang susah sekali nak melihat ayah menolak setiap permintaan kami. Segala apa yang kami inginkan sedayanya ayah cuba tunaikan walaupun pada ketika itu ayah sendiri sedang runsing.

Ayah seorang yang tegas dan lemah lembut bila memberi nasihat. Tapi itu bukanlah bermakna ayah tidak pernah memarahi kami. Pernah aku dibelasahnya sampai demam kerana ponteng sekolah. Itu kali pertama dan terakhir ayah menampar aku kerana amat marah. Dirotan dan dipukul dengan tali pinggang aku sudah biasa. Sepengetahuan aku, hanya aku seorang saje yang sering dipukul kerana kenakalan aku jika hendak dibandingkan dengan adik-adikku yang lain. Aku paham kenapa adik-adik aku Cuma akan dimarahi berbanding dengan aku yang dipukul ini. Setiap kali ayah merotan aku setiap kali itu jugalah ayah kesal dan sedih atas tindakannya. Mungkin semasa kecil dulu aku tidak mengerti tapi setelah meningkat dewasa aku mampu memahami hati dan perasaan seorang ayah.

Setiap kata-kata ayah adalah inspirasi bagi aku. Kalaulah dulu aku dengar segala nasihat ayah dan mak tentu hidup aku senang kini. Aku bersyukur kerana masih mempunyai ayah yang sehingga kini masih sudi memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada aku walaupun aku sudah berumur 26 tahun. Pernah sekali aku melihat ayah menangis tapi bukanlah disebabkan bebanan masalah atau sebab kederhakaan kami adik-beradik. Masa itu merupakan hati yang amat sedih buat kami semua. Hari sewaktu Allahyarham Jazlan meninggalkan kami semua. Hanya selepas beberapa hari kami semua berkumpul di kampung dia pergi meninggalkan kami semua. Paling sedih tentulah Maklong dan Paklong. Ayah menitiskan air matanya di saat kaum keluarga dibenarkan untuk menatap jenazah buat kali terakhir. Pada ketika itu aku sedar bahawa ayah juga mempunyai hati yang lembut disebalik ketegasannya.

Aku sayangkan ayahku. Aku sayangkan ibuku. Aku sayangkan adik-adikku. Aku sayangkan keluargaku. Bersempena Hari Bapa ini aku ingin sekali memeluk ayahku seeratnya dan mengatakan bahawa aku amat sayangkannya. Aku tidak mampu untuk menghadiahkannya dengan barangan fizikal kerana material semahal mana pun tidak akan mampu menandingi kasih sayang seorang ayah terhadap anaknya. Aku bermohon kepada Allah s.w.t supaya mengampunkan segala dosa ayah, memurahkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya agar kami semua dapat meluangkan lebih banyak masa bersama ayah.Amin. –end-





Good thing always happen – Believe it.

Sabtu, 31 Mei 2008.

Hari ini aku bangun dari tidur agak lewat kerana keluar lewat malam pada hari sebelumnya. Dalam beberapa hari ni jiwa aku agak tenang dan gembira. Kerana apa aku sendiri pun kurang pasti sebab setahu aku masih banyak lagi permasalahan yang belum diselesaikan. Mungkin aku optimis bahawa setiap masalah itu akan selesai sedikit demi sedikit dalam beberapa bulan lagi. Barang-barang milik Ana pun sudah diambilnya. Selesai 1 dari segala masalah. Motor pun aku sudah repair di bengkel bawah. Selesai 1 lagi masalah. Masalah yang tidak pernah selesai adalah pengurusan kewangan aku. Sudah beberapa kali aku berfikir untuk merujuk permasalahn aku ni kepada AKPK tapi aku belum mencapai kata putus. Mungkin kerana aku merasakan ia belum mencapai tahap kritikal. Sebahagian dari diri aku pula berkata takkan nak tunggu sampai kritikal? Entahlah. Mungkin ada baiknya juga aku rujuk kepada AKPK sebelum melarat. Adakalanya kesibukan kerja menyebabkan aku lupa akan beberapa perkara penting yang harus aku lakukan dalam hidup aku. Dan perkara yang paling utama ialah menguruskan hidup aku sebaiknya. Sudah sebulan lamanya aku mencari inspirasi dan idea dan hari ini aku pasti apa yang harus aku lakukan. Perkara pertama yang harus aku lakukan ialah melupakan seketika kehadiran insan istimewa dalam hidup aku. Itu bermakna aku akan hidup sendiri bagi 1 tempoh yang agak panjang. Tapi aku tidak kisah kerana aku masih boleh berkawan dan tidak salah rasanya kalau aku mempunyai kawan wanita yang lebih ramai dari kawan lelaki. Sebab itulah aku sengaja melukakan hati beberapa orang yang pernah aku sayang hanya kerana untuk memperbetulkan kembali matlamat hidup aku. Mungkin itu 1 pengorbanan yang terpaksa aku lakukan agar aku tidak lagi menyusahkan orang-orang disekeliling aku. Cukuplah segala konflik yang telah aku bangkitkan selama ini. Aku pasti aku akan berjaya 1 hari nanti jika aku terus cuba menggunakan kuasa minda. Buat masa ini biarlah bersusah-susah dulu kerana kesusahan itu mengajar aku erti sebenar kehidupan. Apalah ertinya kejayaan tanpa kesusahan.

Aku menelefon mak pada jam hampir pukul 11 malam. Bertanya khabar dan untuk memastikan kestabilan emosinya. Alhamdulillah mak sihat dan jiwanya juga tenteram walaupun dilanda masalah. Sebagai anak aku tidaklah berhak untuk masuk campur tapi sebagai anak juga sudah menjadi tanggungjawab aku untuk mengambil berat tentang dirinya. Walaupun aku hidup jauh di Kuala Lumpur tapi jarak tidak mampu menjadi penghalang hubungan anak dan mak. Banyak juga perkara yang kami bualkan. Bergayut di talian hampir 2 jam. Antara perkara menarik yang kami bualkan ialah banjir di Bandar Johor Bahru. Sepanjang aku hidup di Johor dulu pun belum pernah aku lihat Bandar itu dilanda banjir setinggi paras pinggang orang dewasa. Kalau di Kuala Lumpur ni sudah biasa sangat. Suara mak yang ceria telah membuatkan aku berasa amat gembira. Anak mana yang tidak ingin menggembirakan hati maknya betul tak. Aku suka berbual dengan mak kerana mak sering memberikan nasihat dan pandangan yang bernas kepada aku. Aku tidak dapat membayangkan pengorbanan yang telah mak lakukan untuk membesarkan kami semua. Hanya hati seorang ibu sahaja dapat memahami pengorbanan itu. Disamping itu mak juga ada memberikan pandangannya terhadap surat tuntutan gantirugi yang aku cadang hendak disampaikan kepada Saiful dan Reza. Mak nasihatkan aku supaya menghalalkan aje apa yang telah berlaku kerana rezeki itu datangnya dari Allah. Sememangnya aku juga ada terfikir begitu tapi bila aku kenangkan keegoan dan kekerasan hati Saiful aku jadi marah dan kecewa. Rasa marah dan kecewa itulah yang mendorong aku untuk meneruskan niat menyampaikan surat tuntutan. Namun kata-kata mak mengubah kembali pendirian aku. Mereka seharusnya berterima kasih kepada mak aku kerana terselamat dari tuntutan di mahkamah yang sedang aku siapkan kertas kerjanya. Aku yakin ada berkat dan hikmahnya jika aku dengar apa yang mak nasihatkan. Aku lakukan ini kerana aku sayangkan mak dan aku tak mahu lihat dia berduka dengan tindakan terburu-buru aku.

Mereka selamat buat masa ini. Tidak mustahil untuk aku mengubah lagi pendirian jika selepas ini mereka masih menyusahkan aku. Ingat, jika aku tidak menghalalkannya maka Hajimu juga tidak halal dan matimu tidak tenteram. Ini amaran aku untuk mereka. Maafkan aku Reza kerana berkeras tapi inilah yang seharusnya aku lakukan. Kau mungkin tidak perasan aku telah banyak berubah. Aku tidak lagi seperti dulu. Apa yang telah aku lalui memberi banyak pengertian tentang perhubungan sesama manusia. Dan pada masa ini perhubungan yang harus aku perbaiki ialah antara aku dengan Tuhanku. Kenal Tuhan maka kita akan kenal diri sendiri. Aku akui. Itulah matlamat utama aku kini. Meneruskan pencarian akan identity diri aku yang sebenarnya. Identity yang telah hilang bertahun lamanya. Identity yang tidak pernah dikenali sesiapa pun. Tidak akan ada lagi Brand New Old Me tapi hanya New Me. Mak adalah orang yang paling banyak membantu aku. Aku sayangkan mak aku kerana mak juga sayangkan aku.

“Setinggi terbang bangau akhirnya pulang juga”. Peribahasa itu memberi makna yang besar dalam hidup aku. Seringkali kita melupakan akan insan-insan yang telah banyak membantu kita apabila sudah mula merasakan kesenangan hidup. Tapi apabila kita dalam kesusahan kepada mereka jugalah kita mengharapkan bantuan dan pertolongan. Dalam hidup ini ada 3 perkara yang paling harus kita jaga. Tuhanku, ibuku dan ayahku. Secara jujurnya aku juga tersentak apabila menyebut 3 perkara itu kerana selama ini aku telah mengenepikan 3 perkara itu. Jika 3 perkara ini dijaga dengan baik InsyaAllah hidup kita akan diberkati dan dilimpahi rezeki yang berkekalan. Ingatan ini juga adalah untuk diri aku sendiri yang selama ini tidak menjadi hamba dan anak yang taat. Aku ingin menjadi teladan yang baik kepada adik-adik aku dan kepada kawan-kawan aku. Aku bermohon kepada Tuhanku Maha Suci Allah semoga segala dosa-dosa diriku, mak dan ayahku,adik-adikku dan suami/ isteri mereka, kawan-kawanku, jiran-jiranku, guru-guruku, insan-insan yang pernah mengenaliku dan semua umat Islam diseluruh dunia diampunkan dan diberi petunjuk dan hidayat hidup dunia dan akhirat. –end-2.10am-1 Jun 2008.





Setiap yang bertemu pasti berpisah

Hari ini merupakan hari terakhir aku bersama Puan Zu. Seorang pegawai yang pada aku adalah baik walaupun adakalanya lack of integrity. Siapa Puan Zu ni? Nama penuh dia Fail@Zuraini Bte Abd Razak. Berasal dari Kelantan. Kini menetap di Kuarters Polis Kelana Jaya bersama seorang suami dan 5 orang anak(kalau aku tak silap la).


Biar aku cerita sikit karakter Puan Zu aku ni. Dari sejak hari pertama aku lapor diri di Mahkamah, dia ni ceria aje. Belum pernah sekali pun aku tengok dia bermasam muka walaupun dilanda masalah. Sentiasa tersenyum dan suka gelak. Kalau dia marah pun boleh senyum-senyum lagi. Ada ketegasan dalam dirinya tapi tak cukup kuat untuk handle orang-orang yang keras kepala macam aku ni hehe....Walau apa pun aku tetap hormat dia sebagai seorang pegawai yang berdedikasi. Bermula Jun 2008 dia akan memulakan tugasnya sebagai Majistret (jawatan sekarang ialah Penolong Kanan Pendaftar). Selama 2 tahun aku disini dia telah banyak membantu aku dari segi tugas dan personal. Dia adalah antara manusia-manusia yang tiada penggantinya dalam diari kehidupan aku ni.

Jamuan untuk Puan Zu akan diadakan pada jam 12.00 p.m di pejabat. Lepas jamuan ada pula mesyuarat. Aku paling benci mesyuarat ni. Buang masa aku sampai 2-3 jam. Lama tu..... kalau tidur memang puas lah. Apa agenda mesyuarat hari ini pun aku tak ingat. Biarlah,bukan aku nak cakap apa-apa pun. Habis mesyuarat aku baliklah hehehe...

Ikut perancangan malam ini aku sepatutnya ambil peti sejuk dan karpet aku di gombak. Lori dah dapat tapi timbul pula masalah lain. Macam mana nak uruskannya aku akan fikirkan sendiri. Selepas aku angkut barang-barang aku tu maka berakhirlah era aku di Gombak. Tapi tak sangka pula seperti ini penamatnya. Kalau ditanya apa perasaan aku tentunya aku akan jawab "amat sedih". Disinilah tempat dimana aku mula bertapak ketika aku dicabar Kuala Lumpur. Bak kata pepatah melayu "tempat jatuh lagi dikenang".






1st Plan For June

Pagi ini aku bangun lewat sebab 'bergayut' di telefon malam tadi. Sebelum itu aku menonton siaran-siaran ulangan di TV3. Rancangan 360 paling menarik perhatian aku kerana berkisar tentang pembelian rumah dan projek perumahan yang terbengkalai. Ia cukup memberi manfaat terutamanya kepada aku yang masih belum lagi mempunyai rumah sendiri. Aku sudah lama merancang untuk membeli rumah tapi kedudukan kewangan masih belum mengizinkan.

Sampai di office aku terus on laptop. Aku search blog mazidul akma sidek, pengacara 360. Ternyata tidak sia-sia kerana ada maklumat yang amat-amat aku perlukan. Maklumat untuk aku merancang 1 trip picnic selama 1 malam. Setelah menyemak kalendar aku putuskan untuk pergi pada 27 jun 2008. Siapa yang akan ikut bersama aku tak pasti lagi tapi aku akan cuba ajak Reza dan Naz.



Coretan untuk kawan2 & untuk Wanita2

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Kali ini aku menulis khas untuk beberapa orang yang pada ketika ini aku amat pasti sudah mula membenci aku kerana berasa amat sakit hati atas apa yang telah aku lakukan. Aku tak pasti sama ada kalian akan membaca coretan aku ini tapi kalian pun tau link untuk ke site ni ada dalam profile friendster aku. Jika kalian membaca aku harap kalian dapat memberi tumpuan dan faham dengan apa yang cuba aku rungkaikan disini.


Saiful,
aku tidak bermaksud untuk memusuhi kau. Aku juga tidak pernah terfikir untuk kita jadi begini. Aku ambil masa yang lama untuk fikirkan tentang perkara ni. Pada penghujungnya aku sendiri tidak pasti apa punca kepada keadaan ini. Adakah kerana Fiza? Atau adakah kerana WFQ 8814? Atau mungkinkah juga kerana aku menumpangkan seorang gadis? Makin aku fikir semakin aku tidak mendapat jawapannya. Aku setuju bila Reza kata kita 'ego'. Memang kita sama-sama ego dan perkara itu tidak aku nafikan. Aku tau aku juga bersalah dalam hal ini. Aku jadi segan atas apa yang telah aku lakukan. Namun begitu aku juga telah berusaha untuk perbaiki keadaan walaupun tidak secara langsung. Bukan aku tak nak atau takut bersemuka dengan kau tapi seperti yang aku kata tadi,aku segan. Sebab itulah aku cuma mulakan dengan menghantar SMS dan email pada kau. Tapi malangnya kau terlalu ego untuk membalas SMS dan email aku. Tapi tidak mengapa. Aku tetap juga cuba memahami keadaan ini. Walau apa pun yang kau anggap tentang diri aku, terpulang pada kau. Cuma aku harap kau tidak lupa disaat susah senang yang pernah kita lalui bersama. Terus terang aku katakan banyak perkara aku tidak bersetuju dengan kau tapi seperti yang selalu kita perkatakan, "terima seadanya" maka begitu jugalah aku cuba lakukan sebagai seorang kawan. Apa yang pasti aku tidak pernah menganggap kau sebagai musuh. Selagi kita masih boleh berkawan maka kita akan tetap berkawan. Aku harap kau dah tamatkan latihan memandu kau dan dapat lesen memandu yang sah. Jika suatu hari nanti kau dalam kesusahan dan amat memerlukan bantuan, hubungilah aku. Aku takkan teragak-agak untuk membantu. -end-



Nur Farhana Taruddin,
apa yang berlaku antara kita adalah diluar kawalan saya. Saya ikhlas berkawan dengan awak sejak dari awal kita berkenalan lagi. Tidak pernah terdetik pun dihati saya untuk mempermainkan dan melukakan hati sesiapa tapi itulah yang terjadi. Saya memutuskan untuk lepaskan awak pergi bukanlah kerana saya tidak sayangkan awak tapi saya amat pasti setelah apa yang berlaku bukan mudah untuk awak letakkan kepercayaan pada saya lagi. Saya faham bagaimana rasanya bila diri ini tidak lagi dipercayai. 3 tahun saya hidup dalam keadaan itu. Hanya sapien yang pernah alaminya saje dapat memahami apa yang saya rasakan. Pasti awak tertanya-tanya mengapa saya buat semua ini. Awak juga pernah bertanya pada saya 'apa salah awak'. Awak tak salah apa-apa pada saya. Mungkin awak tidak nampak saya ni jenis yang sensitif. Dan apa yang berlaku adalah diluar kawalan saya. Saya tidak pandai berbohong dan menipu. Memang saya akui layanan kasar awak terhadap saya memberi kesan setiap hari tapi saya bukan jenis yang cepat berputus asa. Saya sayangkan awak dan saya juga sayangkan dia. Walaupun dia kini milik insan lain, perasaan sayang saya pada dia tidak pernah pudar. Saya tidak pernah mengharap untuk cari pengganti tapi saya harap saya ada seseorang disisi yang menyayangi dan mencintai saya seperti yang pernah dia lakukan dulu. Saya harap orang itu adalah awak tapi awak tak mengerti keinginan sebenar saya. Salah saya juga kerana terlalu awal menyatakan hasrat yang terpendam. Apa pun yang pernah awak lakukan terhadap saya, awal-awal lagi telah saya maafkan. Saya juga memohon kemaafan dari awak atas segala tindak-tanduk saya yang telah melukan hati awak. Jika selepas ini awak langung tidak ingin berjumpa saya pun tidak mengapalah. Saya sudah biasa ditinggalkan sejak kecil lagi. Harapan saya semoga awak tamat belajar dengan cemerlang dan berjaya mencapai impian.-end-


Liyana,
awak paling teruk disakitkan saya. Saya rasa amat bersalah terhadap awak. Tidak pernah terlintas difikiran saya untuk buat awak rasa terhina. Kita boleh jadi pasangan yang bahagia jika kita betul-betul berusaha. Apa yang persoalkan pada awak ketika itu cumalah 1 alasan untuk membuatkan awak membenci saya. Ternyata saya berjaya mewujudkan perasaan benci itu. Kenapa saya lakukan ini semua? Kerana saya tau saya tak mampu untuk setia. Kisah silam awak membuatkan saya rasa amat bersimpati. Bukannya saya tidak ingin jadi yang terbaik untuk awak, cuma saya masih belum cukup bersedia untuk setia. Hakikatnya saya masih cintakan kekasih lama. Setakat ini hanya dialah yang terbaik yang pernah saya ada. Bukanlah saya bermaksud tiada lagi yang lebih baik dari dia tapi dia umpama permata yang sentiasa berkilau dalam hidup saya. Awak memang seorang yang baik. Walaupun adakalanya kita berbeza pendapat tapi awak pandai memujuk hati saya. Perjalanan awak masih jauh dan bukan ini yang awak perlukan. Awak harus lebih tumpukan perhatian pada pelajaran. Saya doakan semoga suatu hari nanti awak dijodohkan dengan seorang lelaki budiman yang dapat membimbing awak dengan sempurna. Saya tidak pasti sama ada kesalahan saya dapat dimaafkan. Itu terpulang pada awak. Awak berhak untuk dapat kehidupan yang lebih sempurna. Saya tak mampu untuk memberikannya. Semoga awak sentiasa berbahagia.-end-



English Premier League

free download

Here In My Home

free download