Nasib sebahagian manusia
Malam tadi aku menonton rancangan 360 di tv3. Beberapa isu dikupas antaranya tentang kebanjiran pelarian UNHCR warga Myanmar. Sebelum ni aku tak tau pun sebenarnya pelarian di Negara kita ni tidak dibenarkan bekerja mengikut Akta Imigresen. Seingat aku ketika bertugas di pejabat lama di Bangunan JKR dulu ada seorang makcik warga Indonesia dari Aceh bekerja sebagai cleaner yang setiap hari memastikan workstation aku sentiasa bersih & kemas. Kalaulah begitu perihalnya maka makcik itu bekerja tanpa permit la.
Terdetik pula dihati aku. Jika mereka tidak dibenarkan bekerja & tidak boleh digaji di Malaysia, bagaimana mereka hendak menyara hidup? Bukankah orang-orang seperti mereka ini yang patut kita simpati? Sudahlah Negara sendiri dilanda pergolakan, menjadi pula pelarian di Negara asing tetapi dinafikan hak untuk bekerja. Aneh betul undang-undang yang ada di Negara kita ni. Walaupun aku sendiri bertugas dalam hal perundangan (secara tak langsung) namun aku sebenarnya masih tidak faham dengan rang undang-undang yang ada.
Keanehan semakin bertambah apabila 2 persoalan timbul dalam benak fikiran aku ni. Berjuta-juta hasil kerajaan dari cukai yang aku dan seluruh rakyat bayar (aku dah kurang bayar sebab dah quit smoking) sebahagiannya digunakan untuk menyara pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditempatkan di beberapa pusat tahanan tetapi tidak pula digunakan untuk membantu warga pelarian ini yang jelas nyata masuk ke Negara ini secara sah. Keduanya, kerajaan pimpinan “fella” mempromosikan modal insan yang nyata aku sendiri kurang pasti apa yang cuba ditonjolkan selain dari hanya kata-kata yang belum tentu berlaku secara terangnya.
Aku tidak menafikan Malaysia banyak membantu golongan susah di Negara luar seperti di Aceh, Darfur, Somalia, Bosnia dan sebagainya. Tetapi bukankah aneh jika masyarakat yang ada di dalam Negara ini sendiri masih dahagakan bantuan?
Kemudian aku terfikir lagi. Berapa banyak badan kerajaan yang tampil menghulurkan bantuan seperti yang dilakukan tv3 melalui rancangan Bersamammu? Bila ditanya kepada pihak-pihak yang sepatutnya menjalankan kewajipan itu mereka menjawab, “kita tidak akan tahu sekiranya tiada laporan dari masyarakat”. Inilah yang menjadi masalah. Bukankah setiap kawasan ada wakil rakyat yang telah dilantik? Apa fungsi mereka ini kalau rakyat di kawasan sendiri daif pun tidak mereka ketahui? Ish…banyak betul persoalan ni.
Aku bukanlah hendak menghentam sesiapa tetapi aku sedih melihat keadaan masa depan anak-anak pelarian ni. Mereka juga manusia seperti kita. Tiada bezanya antara kita dan mereka. Mungkin isu ini boleh dipertimbangkan oleh pihak kerajaan. Walau apa pun aku tau perkara seperti ini ada pro & contra. Nanti ramai pula pelarian nak larikan diri ke Negara kita. Kesian betul tengok nasib anak-anak pelarian ni. Nak bersekolah pun tak boleh. Macam mana la masa depan diorang nanti.
P/s: SUHAKAM ada komen?



Post a Comment