Budu lawan penuaan
MUNGKIN perkataan budu agak janggal atau dipandang sepi sesetengah orang.
Namun bagi peminat fanatik, ia dianggap makanan tradisi yang wajib ada dalam menu harian mereka.
Percayakah jika dikatakan budu iaitu sejenis cairan yang diperam dalam tempoh tertentu bersama ikan bilis atau pekasam lain dan enak dicicah bersama ulam-ulaman, boleh dijadikan antara medium terbaik untuk mencantikkan wajah seseorang?
Barangkali ada pihak yang tersenyum sinis namun kajian sekumpulan penyelidik di Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) membuktikan ia mampu direalisasikan.
Menurut Penyelidik Kanan Alam Sekitar dan Bioproses Pusat Teknologi Sirim, Hamidah Sidek, kajian terhadap budu menunjukkan ia mempunyai potensi tinggi dalam pertumbuhan sel kulit.
Selain membentuk sel biak terbaik terhadap kolagen serta bersifat elastin, budu dikatakan mempunyai nisbah 50 peratus dalam membantu dari segi antipenuaan.
"Berdasarkan penyelidikan terperinci mengenainya, proses sintesis terhadap kolagen didapati lebih baik daripada vitamin C berdasarkan kandungan makanan itu.
"Kulit perlu dilindungi daripada elemen negatif selain mengimbangi sel manakala bahan berkenaan juga mampu melindungi daripada pancaran ultra ungu matahari," katanya.
Menurutnya, Sirim sedang mencari pelabur atau peniaga dalam bidang kosmetik untuk melariskan formula yang dirintis.
Katanya, budu keluaran Ketereh antara ramuan tertua dan begitu sinonim dalam sajian makanan di negeri Pantai Timur, malah menjadi sajian di seluruh Semenanjung Malaysia.
Menggunakan BK sebagai singkatan Budu Kelantan atau Budu Ketereh pada rumusan produk yang bakal dilonjakkan, beliau berharap impian untuk melihat budu menjadi jenama popular satu hari nanti bukan hanya terbatas di Malaysia, bahkan melonjak ke luar negara.
Dia turut menafikan kesan penggunaan budu boleh menyebabkan kegatalan pada kulit atau menimbulkan bau kurang menyenangkan.
Baginya, kebanyakan produk berjenama dunia yang eksklusif juga mengandungi bauan yang tidak enak.
Menurutnya, penemuan saintifik yang diolah dengan bioteknologi terkini untuk menyah bauan yang kurang disenangi boleh dilakukan dengan campuran ekstrak tertentu.
Ramuan yang terdapat dalam budu mempunyai kandungan tertentu turut bergabung dengan ekstrak lain yang bersifat bebas radikal, tiada campuran kimia atau bahan pengawet yang memudaratkan tubuh.
Katanya, unsur yang digunakan seperti raksa atau plumbum diselitkan dan diseimbangi dalam tahap yang dibenarkan Kementerian Kesihatan.
"Kami berhasrat mensasarkan produk ini di kalangan masyarakat di negeri Cik Siti Wan Kembang sendiri sebagai sasaran utama memandangkan budu berasal dari negeri itu. Tetapi kami tidak menolak jika ada pengusaha lain yang meyakinkan untuk menaik taraf budu ini ke tahap lebih tinggi.
"Keyakinan kami didukung kuat oleh sifat masyarakatnya yang sinonim dengan makanan berkenaan selain menunjukkan sikap jangan perlekehkan budu kerana ia mampu menjadi bahan terpenting dalam produk kecantikan.
"Bukan sekadar makanan, tetapi ia sekali gus mampu melakar sejarah tersendiri dalam dunia kecantikan yang tiada sempadan. Namun, kami ada cara dalam melonjakkannya untuk menjadi jenama terkenal dan perkataan budu itu tidak akan ditekankan jika dikhuatiri mengundang pandangan negatif segelintir masyarakat terhadapnya.
"Mungkin pendekatan yang diguna pakai untuk lebih komersial adalah proses penapaian bahan berasaskan marin untuk penggunaan kosmetik. Kami percaya ia akan melindungi atau memberi kesan terhadap pembaikan kulit secara perlahan-lahan.
"Berdasarkan kajian, keluaran yang baik adalah produk yang tidak memberi kesan terlalu cepat terhadap kulit wajah seperti didakwa sesetengah pengusaha produk kecantikan. "Mungkin ada bahan campuran kimia tertentu dan pengguna harus ada pengetahuan mengenai produk supaya tidak memberi kesan buruk kelak.
"Sebenarnya, kesan melebihi tiga minggu lebih memberi kesan berpanjangan bagi kebaikan kulit wajah," katanya.
Sebagai pertubuhan yang dipertanggungjawabk an terhadap aspek mutu atau piawaian dalam jenama atau pembuatan bahan di negara ini, Sirim turut meletakkan syarat tertentu kepada mana-mana syarikat yang bakal terpilih untuk meletakkan jenama berkenaan pada tahap sewajarnya kerana pelbagai aspek diambil kira sebelum 'menjual' formula itu kepada pihak pembeli.
Lebih membanggakan, usaha lapan penyelidik Sirim itu turut mendapat penghargaan di Jepun ketika persidangan di negara itu baru-baru ini yang mengiktiraf usaha dilakukan kumpulan penyelidik berkenaan yang dikatakan antara penyelidikan terbaik.
"Sebenarnya sewaktu menghadiri seminar dan membentangkan hasil penyelidikan di Jepun, kita berasa jauh ketinggalan dalam aspek teknologi berbanding negara lain termasuk Korea. Tetapi ia tidak menjadi halangan kepada kami untuk terus mengkaji pelbagai lagi penemuan baru untuk diketengahkan.
"Apa yang terpenting, aspek bioteknologi amat penting dalam memastikan ia bebas bahan kimia yang boleh memberi kesan tidak baik kepada tubuh seseorang. Untuk itu, kajian kami lebih mengutamakan aspek bahan tempatan yang boleh dikomersialkan, " katanya.
Menurutnya, jika beberapa jenama kecantikan dari luar negara begitu terkenal menggunakan bahan penapaian atau yang diperam bahkan ada yang berbau busuk, dia menyangkal BK yang menjadi penemuan pertama Sirim akan ditolak.
Sebagai ketua penyelidik, Hamidah tidak menolak tanggapan mungkin budu menjadi penyebab beberapa aspek lain seperti kebanyakan wanita Kelantan mempunyai tekstur kulit lebih menarik atau ia mungkin atas faktor genetik.
"Mungkin kajian pihak lain boleh membuktikannya apabila ada yang mengatakan ramai golongan cerdik pandai terdiri daripada orang Kelantan mungkin disebabkan budu menjadi sarapan mereka.
"Ia ada seribu kemungkinan cuma kajian kami hanya menjurus kepada budu sebagai satu aspek penapaian yang boleh jadi formula menarik dari aspek kecantikan," katanya.
07:49 | 1 Comments
Keistimewaan Untuk Penderma Darah
1 kali menderma darah.
Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan (tidak termasuk bayaran X-ray dan pembedahan) dan wad kelas dua untuk tempoh 4 bulan.
2 - 5 kali menderma darah.
Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas dua untuk tempoh 4 bulan. Percuma bagi pelalian Hepatitis B.
6 - 10 kali menderma darah.
Percuma rawatan pesakit luar selama 1 tahun dan rawatan perubatan dan wad kelas dua untuk tempoh 1 tahun.
11 - 15 kali menderma darah.
Percuma rawatan pesakit luar selama 2 tahun dan rawatan perubatan dan wad kelas dua untuk tempoh 1 tahun.
16 - 20 kali menderma darah.
Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas dua untuk tempoh 2 tahun.
21 - 30 kali menderma darah.
Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas dua untuk tempoh 3 tahun.
31 - 40 kali menderma darah.
Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas satu untuk tempoh 4 tahun.
41 - 50 kali menderma darah.
Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas satu untuk tempoh 6 tahun.
Lebih 50 kali (bagi penderma darah & 150 kali bagi penderma aferesis).
Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas satu untuk tempoh 10 tahun dan wad kelas dua seumur hidup selepas tempoh 10 tahun di wad satu.
13:25 | 0 Comments
Mengenali Seseorang
dari MawarCute
13:03 | 0 Comments
Wahai gadis muda, engkau semakin tua
Kehidupan manusia sentiasa bergerak ke hadapan, tanpa melihat ke belakang dan masa itu tidak boleh berundur. Sekiranya kalam itu sudah tertutur, tidak mampu untuk ditarik balik. Sekiranya perbuatan itu sudah terlanjur, juga tidak mampu untuk ditarik balik. Wahai gadis muda, engkau semakin hari semakin tua. Engkau tidak mampu menahan masa daripada terus bergerak sepertimana engkau tidak dapat menahan bumi ini daripada beputar.
Engkau juga tidak mampu menahan matahari daripada terbit atau tenggelam. Semua inilah yang menggerakkan masa itu. Kehidupan muda hanya sementara, dan kecantikan semasa muda itu akan hilang dengan cepat. Sekiranya engkau merasakan umur 22 tahun itu ialah paling cantik, ia akan hilang apabila engkau berumur 23 tahun. Tempoh kecantikan itu hanyalah setahun.
Adakah engkau merasakan kecantikan itu berterusan? Wajah muda itu tidak selamanya begitu. Engkau tidak dapat menahan umur itu daripada meningkat. Engkau tetap akan tua, atau mati ketika masih muda. Apakah bekalan engkau ketika itu? Wajah muda engkau? Segalanya langsung tidak berguna. Muka itu tetap dimakan ulat, dan badan itu tetap dimamah
tanah.
Sekiranya engkau diberikan umur oleh Allah supaya dipanjangkan lagi, muka muda itu pasti akan hilang dan digantikan dengan muka tua. Sekiranya engkau berusaha mengekalkannya, engkau hanya muda pada cermin, sedangkan tubuh engkau tetap mengakui bahawa engkau adalah orang tua yang terasa muda.
Walaupun begitu, petua untuk mengekalkan muda itu tetap ada. Walaupun umur itu semakin tua, iman itu tidak pernah tua. Bahkan ia semakin tebal dan matang. Iman itu tidak akan berkurangan disebabkan kurangnya umur, tetapi ia kurang disebabkan kurangnya amalan. Kalau engkau hanya gilakan kecantikan dengan mengenakan pelbagai lotion, ia akan hilang dengan mudah. Tetapi sekiranya kecantikan itu kurniaan Allah dan ia dihiasi oleh iman di dalam diri, ia akan kekal selamanya.
Carilah kecantikan yang sebenar. Ia tidak ada pada lotion yang bertimbun, tetapi ia milik Allah Yang Maha Cantik, dan Allah sukakan benda yang cantik dengan Iman. Tetapi, engkau jangan lupa wahai gadis muda, walaupun hari ini engkau merasa engkaulah orang paling cantik pada pandangan manusia yang buta, Allah mampu menghilangkannya dengan cepat.
Seorang gadis cantik pada mata manusia, apabila mengalami kemalangan dan mengubah mukanya. Seorang gadis cantik pada mata manusia, apabila terkena penyakit kulit, terus mengubah mukanya. Tetapi, sekiranya ia mempunyai iman, dia masih cantik dan terus cantik pada pandangan Allah, dan Allah berkuasa untuk mencantikkan rupanya kembali!
Oleh itu, sekiranya engkau tidak mahu mencantikkan diri dengan iman, engkau akan hodoh disebabkan dosa. Kecantikan pada pandangan manusia yang buta itu akan hilang sekelip mata, dan Iman di dalam hati itu bukanlah diukur dengan mata manusia yang buta itu, dan inilah kecantikan sebenar.
11:43 | 1 Comments
Gangguan Bekalan Air
Kerja pemasangan strainer, injap di beberapa kawasan Kuala Lumpur, Selangor
KUALA LUMPUR: Gangguan bekalan air berjadual akan berlaku di beberapa kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor mulai 27 Mac hingga 1 April ini.
Kenyataan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), menyebut antara kawasan di Wilayah Gombak yang terbabit ialah Taman Keramat Permai (AU1), Taman Keramat AU2, Taman Keramat AU3, Taman Keramat AU4, Taman Keramat AU5.
Seluruh Flat Jalan Enggang, seluruh Jalan Enggang Timur, seluruh Jalan Enggang, Keramat Wangsa, seluruh Kelompok Menara PKNS, Ukay Perdana dan Kampung Kemensah.
Bagi wilayah Kuala Lumpur, kawasan terbabit adalah Jalan Padang Tembak, Jalan Semarak, Jalan Kent, Jalan Gurney, Kementah, Pulapol, Wisma Tanah, JUPEM, Felda, UTM, Pusat Latihan Telekom, Jalan Ampang Hilir, Jalan U-Thant, Taman Pandan Jaya, Taman Cempaka, Taman Bakti, Taman Nirwana, Taman Putra Sulaiman, Taman Cahaya.
Taman Pandan Cahaya, Taman Dagang, Taman Shamelin, Taman Tenaga, Taman Miharja, Taman Kobena, Bandar Tasik Permaisuri, Kawasan Desa Pandan, Taman Cheras Utama, Taman Pandan Perdana, Taman Kencana, Taman Pandan Indah, Taman Pandan Komersial, Kawasan Pandan Utama dan Pandan Mewah.
Gangguan disebabkan kerja pemasangan strainer dan injap altitude di kolam sedut AU3 baru bermula 27 Mac jam 8 malam hingga 7 pagi keesokannya.
Kawasan di Wilayah Petaling yang mengalami gangguan pada hari sama ialah keseluruhan USJ 1 hingga 27, Sime UEP Subang Jaya, Putra Bestari, Keseluruhan Taman Perindustrian USJ, Jalan Jurutera-Puchong, Kampung Kenangan-Puchong, Kampung Sri Langkas-Puchong.
Gangguan di Wilayah Petaling disebabkan pemasangan Water Balance Meter di paip MS berhampiran kolam Sime UEP, Petaling. Ia bermula jam 5 petang sehingga 9 pagi keesokannya.
Gangguan di Wilayah Sepang, Wilayah Petaling dan Wilayah Kuala Langat bermula 31 Mac jam 5 petang hingga 8.30 pagi keesokannya, disebabkan kerja Water Balance Meter di paip MS di Jalan Batu 18, Sungai Rasau, Sepang dan pemasangan Water Balance Meter di paip MS di Jalan Kampung Sungai Rasau, Sepang.
Wilayah Sepang yang terbabit adalah IOI Marriot Hotel, Ibu Pejabat Lembaga Lebuhraya, UNITEN, IKRAM, Depoh SHELL, Taman Meranti Indah-Puchong, Kg Sg Rasau-Puchong, Kg Pulau Sebok-Puchong, Taman Putra Perdana-Puchong.
Taman Nusa Putra-Puchong, Taman Mas-Puchong, Desa Air Hitam-Puchong, Taman Meranti Jaya-Puchong, Taman Tasik Prima-Puchong, Taman Impiana-Puchong, Taman Impian Saujana-Puchong, Taman Kipark-Puchong dan Kawasan Puchong Dalam/Pulau Meranti-Puchong.
Wilayah Petaling yang turut terbabit adalah Hospital Serdang dan Taman Tekali dan di Wilayah Kuala Langat di Saujana Putra.
Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) menerusi talian bebas tol 1-800-88-5252 atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip PUSPEL jarak dan aduan ke 39222, atau melayari laman web SYABAS di www.syabas.com. .my.
09:50 | 0 Comments


