feedburner
Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

feedburner count

A Succesfull Story

1st Reunion Meeting

Pada 20 haribulan Julai 2008 yang lalu telah berlangsungnya perjumpaan pertama Reunion Meeting untuk bekas pelajar kelas SUP4A Politeknik JB Class of 2002. Perjumpaan dan mesyuarat berlangsung dengan agak jaya dihadiri 14 orang bekas pelajar. Kehadiran mereka telah memberikan 1 petanda ke arah reunion yang akan datang pasti akan dihadiri lebih ramai dan dipenuhi dengan aktiviti yang lebih berguna.

Ucapan jutaan terima kasih dari Hafiz Ariffin yang mewakili AJK kali ini terhadap yang berjaya hadir iaitu Azimah & suami, Naza & suami, Eddy & pasangannya, Sue, Intan, Ina, Faezah, Selva, Ayu, Emi dan aku sendiri.

Kesemua yang hadir dengan sebulat suara bersetuju terhadap beberapa perkara yang telah dibincangkan. Antaranya ialah :

1. Mengekalkan sementara AJK yang merealisasikan perjumpaan pertama ini.

2. Perlantikan Faezah sebagai Pengurus Dana yang akan menguruskan kemasukan dana dan penyediaan bajet untuk aktiviti-aktiviti yang bakal dirancang dan dijalankan.

3. Perlantikan Din (aku sendiri) sebagai Pengurus Promosi (IT) yang akan melaksanakan segala urusan promosi, informasi dan perhubungan awam melalui weblog yang dijangka siap sepenuhnya peghujung bulan Ogos.

4. Kesemua yang hadir akan bertindak sebagai Pegawai Perhubungan Sosial yang akan berusaha mencari, menjejak dan menghubungi saki baki bekas belajar seramai 30 orang yang tidak hadir pada perjumpaan pertama ini. (satu kertas kerja akan disiapkan )

5. Perancangan aktiviti reunion akan dideraf oleh AJK sementara.

Apa yang diharapkan pada perjumpaan pertama ini ialah agar hubungan persahabatan yang dijalinkan sejak 2000 berkekalan hingga ke akhir hayat dan semoga bekas pelajar yang lain dapat sama-sama menyertai komuniti ini. Pada pandangan saya secara peribadinya komuniti ini adalah suatu perkara terbaik dalam hidup kerana sejak di PJB dulu kita semua telah menjalin hubungan yang rapat.

Walaupun ada di antara kita melalui pengalaman yang berbeza dan menghadapi kesukaran dalam bersatu hati tetapi itu semua tidak menjadi penghalang untuk kita mengorak satu langkah baru dalam memperbaiki hubungan yang telah lama terputus.

Penghargaan yang tidak terhingga kepada AJK sementara yang menjadikan perjumpaan ini satu kenyataan.


Dari kiri : Yanti (pasangan Eddy), Eddy, Samsudin (suami Azimah), Azimah, Naza, Faezah, Sue, Intan, Ina, Selva, Ayu dan Hafiz (Along).





Mufti Perlis & Isu Tuduh

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

Seminggu berlalu tanpa sebarang entry baru di zaharuddin.net. Bukan tidak sempat tetapi mood menulis yang agak menurun disebabkan pelbagai urusan di sini.

Rosak Maruah Sukar DiBersihkan

Isu-isu semasa di Malaysia masih lagi sempat diikuti, terasa juga ingin menulis panjang beberapa isu seperti tidak setujunya saya dengan pandangan Mufti Perlis dalam isu liwat dan saksi, namun beberapa perkara yang masih serabut di sini menghalang saya dari meluangkan waktu untuk mengetuk keyboard Sony Vaio ini untuk mengulas isu ini dengan panjang lebar buat masa ini.

S.S Dr Mufti Perlis dinyatakan berkata :-

"Mereka ini keliru antara seseorang yang mendakwa orang lain melakukan zina dengan orang yang mendakwa dirinya dirogol dan diliwat," kata Dr Asri.

"Jika disamakan kaedah ini bererti mangsa-mangsa rogol dan liwat kena datangkan empat orang saksi dan kalau gagal berbuat demikian, mereka akan disebat 80 kali. Inikah Islam yang mereka faham?

"Kesalahan memahami hukum beginilah yang akan mengelirukan umat Islam? Jika ini yang ditonjolkan pada masyarakat, maka orang akan anggap Islam itu zalim," katanya lagi." ( Sumber )

Tidak mengulas panjang isu ini, saya hanya ingin memberikan ringkasan pendapat saya dalam isu ini. Bagi mereka yang rajin membaca terperinci, bolehlah merujuk tulisan saya yang lalu di link berikut

Sesiapa sahaja yang menuduh dirogol atau diliwat oleh orang tertentu, ia wajib membawakan empat saksi. Ramai menyoal, dimanakah rasionalnya seseorang dirogol atau diliwat kemudiannya dituntut membawa empat saksi lelaki adil jika ingin mendakwa si penjenayah?. Jika tiada saksi apakah adil untuk di hukum sebatan si pendakwa kerana qazaf?.

Akibatnya, ramai tersilap faham lalu terbayang ‘zalim'nya hukum Islam. Padahal ia tidak sedemikian. Hakikatnya, sistem Islam menjaga kedua-dua belah pihak, penuduh dan yang dituduh.

Padahal isunya adalah sistem kita yang lemah dalam menjaga perkara yang perlu dirahsiakan. Hasil perbincangan saya dengan Mufti Besar Mesir (Sheikh Prof. Dr Ali Al-Jumaah) pada tahun 2004 dalam hal ini amat jelas. Malah saya turut membincangkan hal yang sama dengan professor-professor Shariah di Jordan seperti Prof. Dr Sheikh Mohammad ‘Uqlah El-Ibrahim dan lain-lain. Ia juga pernah diulas sebahagiannya oleh Sheikh Prof. Dr Ramadhan Al-Buti.

Kesimpulannya, begini :-

1- Seseorang yang mendakwa diri diliwat dan dirogol tetap diTUNTUT membawakan empat saksi lelaki adil yang melihat dengan jelas akan apa yang didakwa. Ia hukum asal. Tuduhan dari pihak ketiga atau pihak yang mendakwa menjadi mangsa adalah sama sahaja. Sebagaimana ulama bersepakat, seorang bapa menafikan nasab keturunan anak yang dilahirkan oleh isterinya sebagai menuduh isterinya berzina. Cara penyelesaian khusus diberikan oleh Islam dalam hal ini adalah Li'an. Inilah cara yang dipersetujui oleh Mufti Perlis mungkin berdasarkan kaedah qiyas.

2- Jika tidak mempunyai saksi lelaki yang cukup, terdapat ulama yang membenarkan saksi wanita yang adil untuk diterima iaitu jika kejadian berlaku di tempat yang tidak memungkinkan ada lelaki. Tatkala itu saksi wanita diterima dengan kiraan 2 wanita menyamai 1 lelaki. (rujuk link artikel di atas untuk membaca lanjut)

3- Jika masih tiada saksi maka si ‘mangsa' BOLEH membawakan dakwaan kepada pihak berkuasa dan WAJIB dibuat secara TERTUTUP DAN RAHSIA. Kerajaan WAJIB menjaga aduan ini agar tidak tersebar sama sekali. Jika tersebar, kesalahan terletak di atas bahu kerajaan. Inilah yang dikatakan sistem yang lemah. Setiap isu yang diadu kerap tersebar ke media terutamanya apabila membabitkan selebriti dan orang politik.

4- Prof Dr Ali Jumaah selaku Mufti Mesir juga bersetuju bahawa jika aduan tertutup dibuat, dan disertakan ‘qarain' atau bukti-bukti selain saksi seperti air mani, bulu dan lain-lain yang boleh membantu dakwaan. Ia akan dibicarakan di mahkamah dan hukuman qazaf TIDAK DIKENAKAN kerana Maqasid dari hukuman Qazf adalah untuk membersihkan nama dan maruah tertuduh dari tercemar di mata awam. Namun apabila ia dibuat secara tertutup, TIADA KEMUSNAHAN MARUAH tertuduh berlaku lalu inilah yang ingin dielakkan oleh Islam, iaitu kemusanahan maruah tanpa saksi yang cukup. Dalam keadaan ini, kerosakan maruah mereka yang didakwa ‘merogol atau meliwat‘ akan terkawal dan proses perbicaraan akan menentukan tindakan selanjutnya.

5- Bukti diberikan dianalisa, kemudian jika terbukti benar dakwaannya, perogol dan peliwat akan dihukum ta'zir dan bukan hudud kerana terdapatnya unsur syubhat dalam cara pensabitannya. Justeru, perogol dan peliwat akan dihukum sewajarnya smenurut hemat dan kebijaksanaan hakim Syarie. Jika pengadu tewas di mahkamah, hukuman qazaf juga tidak dilaksanakan kerana dakwaan tertutup dan syubhah dalam pensabitan hukuman qazaf. Justeru, tiada siapa yang terzalim dalam hal ini.

6- Perlu difahami hujjah mereka yang mengatakan zalim hukum jika dihukum qazaf mesti ditimbang sewajarnya antara hak individu yang dituduh dan menuduh. Ada pihak seolah membelakangkan hak mereka yang DITUDUH lalu terlalu melebihkan hak yang menjadi ‘mangsa', kononnya perlu dikasihani. Bagaimana jika tuduhan itu palsu, bukankah yang DITUDUH juga perlu pembelaan Islam. Perlu diingat, dengan mudah seorang wanita tiba-tiba mengaku dirogol oleh seorang Mufti atau Imam Besar tanpa sebarang saksi. Kemudian, dengan mudah boleh diselesaikan hanya dengan bersumpah dan bermubahalah semata-mata?. Mungkin ia belum tentu sesuai pada masanya.

7- Justeru, Islam menjaga kedua-dua belah pihak yang menuduh dan tertuduh, kerana itu sesiapa yang ingin mendakwa dirogol atau diliwat mesti empat saksi atau jika tidak, WAJIB membuat laporan secara tertutup dan kerajaan WAJIB pula menjaga dakwaan dari tersebar.

Itulah ulasan ringkas saya buat masa ini. Saya juga tidak sempat membawakan rujukan kitab dan lain-lain hujjah. Mengulas isu ini perlu lebih bertenang dan perbincangan dengan para ilmuan lain agar tidak tersilap mengulas, terutamanya dari seisapa sahaja yang berlatarbelakangkan agama.

Sekian





Liwat : Boleh Percaya Atau Tidak ?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Akhir-akhir ini di sana sini membicarakan persoalan liwat dan politik. Namun di tengah-tengah tuduhan oleh pihak terbabit, ingin saya mengingatkan semua pembaca dan mereka yang mengikuti isu terbaru politik Malaysia ini agar BERAWAS-AWAS. Ia tidak seperti mempercayai tuduhan-tuduhan lain seperti dia agen Yahudi, mereka makan rasuah, amalkan kronisme, pasukan Sepanyol akan menang final Euro dan lain-lain.

Menurut hukum Islam, semua individu Islam perlu berawas dalam mempercayai atau menyebarkan apa jua berita berkaitan zinanya seseorang dan juga liwat. Imam Ibn Qudamah dan lain-lain ulama silam yang berautoriti menyebut dengan jelas bahawa menuduh liwat tanpa saksi termasuk dalam hukum qazf. ( Al-Mughni, 9/72 ; Syarh Muntaha Al-Iradat, 3/599 ; Kasyyaf Al-Qina', 6/433)

Imam Abi Ishak As-Shirazi As-Syafie berkata :

ولا يقبل في اللواط إلا أربعة لانه كالزنا في الحد في الشهادة

Ertinya : Tidak diterima dalam tuduhan liwat kecuali empat saksi kerana ia adalah sama seperti zina dalam (keperluan saksinya) untuk disabitkan hukum" ( Al-Muhazzab, 3/332)

Tanpa berhati-hati, seseorang yang percaya dan menyebarkannya boleh jatuh dalam kesalahan Qazaf yang amat besar dosanya di sisi Islam.

Kesalahan ini dicatat oleh Allah swt :-

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاء فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا وَأُوْلَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Ertinya : Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka (yang menuduh itu) delapan puluh kali dera, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik ( An-Nur : 4)

Imam Al-Qurtubi berkata sebab turun ayat ini adalah antara kepada kes fitnah terhadap Sayidatina Aisyah ataupun kes Hilal bin Umaiyah (yang menuduh istreinya berzina) atau lainnya, namun yang terpenting hukumnya berjalan terus.

Walalupun ayat kelihatan menyebut kesalahan menuduh zina dan liwat kepada sang wanita, namun tuduhan kepada lelaki juga termasuk dalam ayat ini secara sepakat ulama dan ijma ulama (Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi).

RINGKASAN SYARAT-SYARAT

Qazf mempunyai beberapa syarat :-

1) Syarat kepada penuduh :

  • Beraqal
  • Sudah baligh

2) Syarat BENDA YANG DITUDUH untuk dianggap qazaf

  • Menuduh dengan salah satu antara tiga tuduhan yang mewajibkan dihukum, iaitu ZINA dan LIWAT atau menafikan nasab anak sendiri ( ertinya menuduh isteri berzina). ( Al-Fawakih Al-Dawani, 2/211)

3) Syarat orang yang dituduh

  • Beraqal
  • Baligh
  • Islam
  • Merdeka diri
  • BERSIH DARI tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

Justeru, saya nasihatkan agar semua yang membaca berita hangat terkini dalam arena politik Malaysia hari ini agar menahan diri dan menyerahkannya kepada pihak hakim untuk meneliti bukti-bukti kedua-dua pihak, sebagaimana disebutkan oleh Allah swt :-

ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاء

Para ulama sepakat bahawa ayat ini menunjukkan wajibnya si penuduh membawakan saksi seramai empat orang. Perbincangan terperinci berkenaan hal ini terlalu panjang. Namun saksi inilah kuncinya, tanpanya, kita tidak atau belum boleh mempercayai satu apa pun berkenaan tududan zina dan liwat atau kita mencari nahas di akhirat. (Al-Mughni, 9/72 ; Syarh Muntaha Al-Iradat, 3/599 ; Kasyyaf Al-Qina', 6/433)

Imam Malik berkata :

قول مالك، وإن اضطرب واحد منهم جلد الثلاثة، كما فعل عمر في أمر المغيرة بن شعبة،

Ertinya : Jika salah seorang dari empat saksi goyah dan tidak kukuh penyaksiannya, ketiga-ketiga saksi yang lain akan dihukum sebat (80 kali kerana qazaf), sebagaimana yang dilakukan oleh Umar dalam kes AL-Mughirah Bin Syu'bah, (iaitu apabila seorang saksi bernama Ziyad tidak bersaksi maka semua tiga orang saksi sebelum itu disebat kerana menuduh Al-Mughirah.) ( Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi)

Selain dari mesti dihukum sebat 80 kali bagi mereka yang menududh zina dan liwat tanpa 4 saksi, si penuduh juga dihukum dengan penyaksiannya akan tertolak selama-lamanya selain dianggap Fasiq. Namun majority ulama berkata, dikecualikan bagi mereka yang bertaubat bersungguh-sungguh.

Namun Al-Qadhi Suraih, Ibrahim An-Nakh'ie, Hasan Al-Basri, Sufyan At-Thawry dan Imam Abu Hanifah tidak sependapat apabila mereka berkata penolakan hak boleh beri saksi kekal walalupun taubat, hanya gelaran fasiq sahaja yang dihapuskan di sisi Allah.

Sekadar itu sahaja bagi memperingatkan umat Islam di Malaysia agar jangan tersilap langkah dalam menerima berita-berita hal zina dan liwat ini. Mungkin si penuduh dan mereka yang menyebarkannya TIDAK AKAN dihukum qazaf di dunia, namun hukuman pasti menunggu di AKHIRAT, bermula dari alam barzakh. Kecualilah jika individu tersebut bukanlah seorang manusia yang akan menemui kematian, namun semua akan menemui kematian.

Sekian





Hikmah Berdiam Diri

Manusia berbicara setiap masa. Bicara yang baik akan membawa keselamatan dan kebaikan kpd manusia. Jika bicara tidak mengikut adabnya, manusia akan merana di dunia dan di akhirat. Di dunia akan dibenci oleh manusia lain manakala di akhirat bicara yang menyakiti hati org lain akan menyebabkan kita terseksa kekal abadi di dalam neraka Allah SWT.

Bagi mereka yg beriman, lidah yg dikurniakan oleh Allah itu tidak digunakan utk berbicara sesuka hati dan sia-sia. Sebaliknya digunakan utk mengeluarkan mutiara-mutiara yg berhikmah.

Oleh itu, DIAM adalah benteng bagi lidah manusia drp mengucapkan perkataan yang sia-sia.
HIKMAH DIAM1. Sebagai ibadah tanpa bersusah payah.2. Perhiasan tanpa berhias.3. Kehebatan tanpa kerajaan.4. Benteng tanpa pagar.5. Kekayan tanpa meminta maaf kpd orang.6. Istirehat bagi kedua malaikat pencatat amal.7. Menutupi segala aib.

Hadis2 Rasullulah mengenai kelebihan diam yg bermaksud:* "Barangsiapa yg banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya. Barangsiapa yg banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya. Dan barangsiapa yg banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama baginya". ( RW ABU NAIM )* "Barangsiapa yg beriman kpd Alah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata yg baik atau diam". ( RW BUKHARI & MUSLIM )* "Barangsiapa diam maka ia terlepas dr bahaya". ( RW AT-TARMIZI )

Madah Dari Hukama:* BANYAK DIAM TIDAK SEMESTINYA BODOH, BANYAK CAKAP TIDAK SEMESTINYA CERDIK, KRN KECERDIKAN ITU BUAH FIKIRAN, ORG CERDIK YG PENDIAM LEBIH BAIK DR ORG BODOH YG BANYAK CAKAP.* MENASIHATI ORANG YG BERSALAH , TIDAK SALAH. YANG SALAH MEMIKIRKAN KESALAHAN ORANG.* KALAU ORG MENGHINA KITA, BUKAN KITA TERHINA, YG SEBENARNYA ORG ITU MENGHINA DIRINYA SENDIRI.

Manusia tidak akan dapat mengalahkan syaitan kecuali dgn diam. Jalan yg terbaik ialah diam kalau kita tidak dapat bercakap kearah perkara2 yg baik. Bicara yg baik adalah lambang hati yang baik dan bersih yang bergantung kpd kekuatan iman pada diri manusia..


Dipetik dan disalin dari http://www.bozzobattousai.blogspot.com/




Diam diri pun salah juga.

Tak sangka betul, makin aku diamkan diri makin banyak pula cerita yang tidak benar tentang diri aku tersebar. Walaupun aku tahu apa dan siapa puncanya tapi aku tidak pernah ambil peduli. Jadi aku harap penjelasan aku disini akan mengakhiri segala fitnah dan menjawab segala persoalan.

Ramai yang menerima cerita mengatakan aku membawa haluan sendiri kerana patah hati terhadap fiza atau lebih dikenali dengan panggilan intan. Adalah tidak adil jika perkara ini tidak dapat penjelasan dari aku. Kenyataan sebelah pihak yang menuduh aku sedemikian adalah fitnah dan tidak benar sama sekali.

Aku akui aku ada keluar bersama intan sekali dua. Tapi itu tidak bermaksud aku telah jatuhi pada dia. Aku juga akui aku pernah cuba untuk memikat dia pada awalnya tapi setelah aku menilai rentaknya aku dapati adalah mustahil untuk aku dan dia mencapai keserasian. Perkara ini telah pun aku jelaskan kepada Reza dan Saiful sejak awal lagi.

Aku tidak nafikan konflik yang terjadi antara aku dan Saiful ada kaitan dengan intan tetapi bukanlah kerana intan memilih Saiful berbanding aku. Aku sendiri tidak cemburu atau iri hati dengan perhubungan mereka malah hakikatnya aku tidak ada kena mengena langsung dengan perhubungan itu. Apa yang terjadi antara mereka setelah itu langsung aku tidak tahu menahu dan tidak ingin ambil tahu. Aku bukanlah lelaki yang desperate seperti Saiful yang sudah tak sabar ingin berbini.

Beberapa perkara lain yang terjadi kemudiannya juga telah mengeruhkan lagi konflik itu dan tidak perlulah aku bercerita mengenainya. Pada aku hal ini telah lama ditinggalkan dan tidak sepatutnya diungkit lagi. Tapi aku juga perlu membersihkan nama aku yang telah tercemar.

Aku pasti ramai yang sedar aku kini tidak dapat dihubungi. Itu semua adalah kerana tindakan Saiful yang menikam aku dari belakang. Nombor telefon aku tiba-tiba sahaja ditamatkan perkhidmatan tanpa sebarang notis atau makluman. Hak aku dinafikan terhadap nombor yang telah aku guna sekian lama. Hak aku dinafikan terhadap tuntutan ganti rugi yang sepatutnya dijelaskan oleh mereka. Namun aku masih tetap berdiam diri dan membatalkan niat aku untuk membawa perkara ini ke Mahkamah dengan kuasa undang-undang.

Aku tidak menghubungi intan bukan kerana aku kecewa tapi kerana aku tidak mahu mengganggu usaha Saiful untuk mendapatkan intan. Aku tidak pasti siapa awalnya yang mengeluarkan kenyataan ini. Apa sebenarnya yang aku kecewakan ialah attitude Saiful yang berubah setelah hajatnya tercapai. Mungkin dia lupa segala yang telah aku korbankan untuk dia selama tinggal bersama. Tapi tak mengapalah, mak aku kata, halalkan aje. Itulah yang aku lakukan tetapi syaratnya, jangan ganggu hidup aku lagi.

Setelah aku berpindah aku tidak lagi menghubungi sesiapa kerana aku sedar kawan-kawan aku telah ada tanggungjawab sendiri. Mereka telah berkahwin dan hidup dalam dunia yang berbeza. Aku kini hidup dalam dunia aku sendiri. Aku tidak kacau sesiapa dan tidak menyusahkan sesiapa. Walaupun agak sunyi, tapi aku gembira dan aman. Fiza , Saiful dan Reza juga hidup dalam dunia mereka sendiri kini. Tiada kaitan dengan aku.

Buat masa ini biarlah dulu aku dengan cara aku. Apabila tiba masanya aku pasti akan menonjolkan diri aku kembali. Aku pernah berkata, “Don’t find me when I’m gone.” Dan aku harap kawan-kawan aku dapat hormati prinsip aku ni.

Aku harap selepas ini takkan ada lagi cerita-cerita karut tentang diri aku. Kalau ada pun dapatkan dulu jawapan dan penjelasan dari aku. Aku tak marah, Cuma agak kelakar pula bila dengar kalian kata aku bawa diri kerana patah hati. 7 malam aku tergelak tanpa henti dibuatnya. Tapi aku tak salahkan sesiapa. Mungkin juga keadaan yang melihatkannya seperti itu. Apa pun tak perlulah kalian risau. Aku ada disekitar KL. Jika ada apa-apa keperluan, hubungi aku melalui email. –Sekian-





English Premier League

free download

Here In My Home

free download